Ini adalah koleksi latihan Karangan Bahasa Malaysia peringkat STPM di bawah kategori Latihan BM
Soalan:
Baru-baru ini pihak Indonesia menetapkan pembantu rumah yang bekerja di Malaysia harus diberi gaji minimum RM700.00 sebulan dan hanya melaksanakan satu kerja sahaja. Tidak dapat dinafikan pembantu rumah dapat membantu wanita Malaysia yang berkerjaya. Namun demikian, kehadiran pembantu rumah juga menimbulkan masalah yang pelbagai. Huraikan pernyataan ini.
Pemahaman soalan:
- Isu tentang pembantu rumah (dari Indonesia dan negara-negara lain)
- Peranan-peranan pembantu rumah:- kaitkan dengan ‘membantu wanita Malaysia yang berkerjaya’. Contoh idea: menjaga & mengurus anak-anak majikan; mengurus rumah (kebersihan dll); menjaga keselamatan rumah, barangan dll;
- Masalah pembantu rumah:- kecuaian/kelalaian; penderaan / aniaya, tidak bertanggungjawab; kecurian; kos pembantu rumah; dll
Artikel Sisipan:
Murugiah Cadang Hanya Syarikat Kukuh Dibenar Ambil Pekerja Asing
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah berkata hanya majikan memiliki kewangan yang kukuh sahaja perlu diberi kelulusan untuk menggaji pekerja asing bagi menangani kes majikan tidak membayar gaji pekerja mereka.
Sebagai contoh, katanya, kes terbaru yang dilaporkan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) melibatkan 12 pekerja dari Nepal yang tidak dibayar gaji sejak dua bulan lepas dan pasport mereka pula disimpan oleh majikan.
“Apabila kerajaan tidak membenarkan majikan mengambil pekerja asing, mereka marah kita, tetapi apabila kita sudah beri kelulusan timbul masalah seperti ini,” katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Murugiah berkata beliau akan menemui Jabatan Imigresen untuk menyelesaikan masalah yang membabitkan penipuan majikan terhadap pekerja asing.
“Tindakan menipu pekerja asing akan memburukkan imej negara,” katanya.
Presiden Persatuan Kebajikan Masyarakat India Malaysia, K.S Baskaran, berkata aduan mengenai pekerja Nepal itu telah dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.
“Namun setakat ini belum ada maklum balas, justeru kami berharap agar BPA dapat membantu kami menyelesaikan masalah ini dengan baik,” katanya.
Baskaran berkata 12 rakyat Nepal itu diambil bekerja oleh sebuah syarikat kawalan keselamatan sejak tahun 2008.
“Apabila gaji tidak dibayar, mereka membuat aduan di Kedutaan Nepal sebelum membuat laporan polis,” katanya. – FoN Online
Kerajaan Sedia Tambah Negara Sumber Pembantu Rumah Asing
Kerajaan sedang menimbang kemungkinan untuk menambah negara sumber pembantu rumah asing bagi menampung kekurangan pembantu rumah semasa, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada isu berkaitan kekurangan pembantu rumah warga asing ekoran keputusan kerajaan Indonesia membeku penghantaran mereka sejak 2009.
“Kerajaan masih meneruskan perbincangan mengenai pembekuan penghantaran pembantu rumah dengan Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya ketika ini kerajaan hanya membenarkan pengambilan pembantu rumah asing dari Thailand, Kemboja, Filipina, Sri Lanka, India, Laos, Vietnam dan Indonesia sahaja.
Dr Subramaniam juga berkata para majikan bebas membuat pilihan untuk mengambil pembantu rumah asing berdasarkan negara sumber yang dibenarkan, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Berdasarkan statistik sehingga 30 November lepas 264,591 pembantu rumah asing bekerja di Malaysia, dan daripada jumlah itu seramai 242,815 atau 92 peratus adalah warga Indonesia. – BERNAMA
Kumpulan Pertama Pembantu Rumah Indonesia Tiba Februari
KUALA LUMPUR, 20 Dis 2011- Kumpulan pertama pembantu rumah Indonesia dijangka mula dihantar ke negara ini pada penghujung Februari atau awal Mac tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Katanya ketika ini, proses mendapatkan pembantu rumah baru di Indonesia sudah dibuka dan pencarian majikan serta latihan selama 200 jam sedang berjalan sebelum penhantaran boleh dilaksanakan.
“Kini proses mencari pembantu rumah sedang dibuka di Indonesia melalui Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi di sana, agensi di Malaysia kini sedang mengumpul biodata untuk pencarian majikan, dan jika semuanya selesai, kumpulan pertama akan tiba pada penghujung Februari atau awal Mac tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengkaji mekanisme penggajian oleh kontraktor tenaga kerja di sini Selasa.
Penghantaran pembantu rumah itu kembali dilakukan selepas kerajaan Indonesia menarik balik secara rasmi moratorium penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 1 Dis lepas.
Sementara itu, lerajaan akan memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kemboja berkaitan pembantu rumah dari negara itu selepas kerajaan Kemboja membekukan penghantaran pembantu rumah mereka ke negara ini pada 14 Okt lepas.
Menurut sumber Kementerian Sumber Manusia, perbincangan sedang dijalankan antara agensi di negara ini sebelum ianya melibatkan kerajaan Kemboja.
Mesyuarat hari ini membincangkan satu mekanisme baru untuk digunakan bagi syarikat kontraktor tenaga kerja bagi mengelakkan isu berkaitan syarikat sedemikian terus berlarutan.
Subramaniam berkata syarikat kontraktor tenaga kerja yang membekalkan tenaga kerja kepada sektor tertentu dilihat tidak berkesan dan ia menindas pekerja serta kebajikan mereka. – BERNAMA









