IPOH – Sebanyak 1,963 cakera video digital (DVD) cetak rompak bernilai lebih RM17,667 dirampas dalam serbuan di Pasar Pagi Pekan Baru, Teluk Intan, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan bermula 8.10 pagi itu, suspek yang dipercayai terbabit dengan kegiatan itu berjaya melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak, Zaki Mohamed berkata, pihaknya telah memantau kegiatan di kawasan berkenan setelah menerima aduan daripada orang ramai.
“Kebanyakan DVD pelbagai tajuk filem serta drama dari Korea, China dan keluaran tempatan itu tidak mempunyai sijil Perakuan B daripada Lembaga Penapisan Filem.
“Kesemua rampasan ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 iaitu kesalahan menjual filem tanpa mempamerkan sijil Perakuan B,” katanya.
Zaki berkata, penjualan barang cetak rompak itu bukan sahaja salah di sisi undang- undang malah ia juga bakal menimbulkan implikasi negatif terhadap masyarakat setempat.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa juga yang masih menjalankan kegiatan haram ini.
“Isu ini melibatkan soal kepentingan masyarakat, jadi perkara ini akan terus menjadi perhatian dan pemantauan secara berterusan dilakukan bagi membanterasnya,” kata beliau.
Justeru, beliau meminta kerjasama daripada orang ramai supaya melaporkan kegiatan itu kepada pihaknya supaya penjualan barangan tidak dibenarkan itu dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.
“Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang aduan mengenai aktiviti yang berkaitan dengan penjualan atau pengedaran VCD dan DVD yang tidak bertapis atau lucah,” katanya.
Orang awam yang mahu membuat aduan boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan KDN Negeri di talian 05-5279002.









