Oleh G MANIMARAN & NORSHAHZURA MAT ZUKI
RAMAI yang membicarakan mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dekat dan semua pihak telah bersedia untuk menghadapinya. Kini mereka hanya menunggu pembubaran Parlimen yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya sudah pasti membuat persiapan pilihan raya dan menghadapi pelbagai kekangan ekoran pelbagai benda baru, persepsi orang ramai terhadap badan itu. SPR juga menghadapi banyak cabaran kerana ramai pihak menyifatkan PRU13 adalah sengit dan ibu segala pilihan raya. Ikuti temu bual bersama Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Orang ramai bercakap mengenai demam pilihan raya sudah setahun lebih, sejauh mana Datuk melihat dekat atau jauh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?
WAN AHMAD : Dekat atau jauh tarikh pilihan raya merupakan spekulasi orang luar tetapi kita sedia maklum tempoh hayat Parlimen akan berakhir pada April 2013. Dalam Perlembagaan, hak parti memerintah untuk mengumumkan bila Parlimen dibubarkan, dan sembah Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Apabila Parlimen dibubarkan, baru kita boleh bercakap tarikh pilihan raya. Ia tidak memberikan tekanan kepada kita kerana SPR di bawah undang-undang wajib membuat persiapan untuk menjalankan pilihan raya. Apabila tempoh tiga tahun selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh diadakan dan selepas tamat tempoh itu, fokus kerja SPR ialah menghadapi PRU. Itu sudah menjadi amalan setiap kali dalam penggal tempoh lima tahun. SPR tidak tertekan apabila Parlimen dibubarkan kerana SPR berkali-kali memaklumkan kepada umum, SPR membuat persiapan dan sekarang merupakan persiapan terakhir yang mana kita jangka akhir Jun, persiapan kita adalah 99.9 peratus. Insya-ALLAH, akhir bulan Jun SPR bersedia untuk adakan pilihan raya.
Adakah Datuk mempunyai bayangan mengenai tarikh pilihan raya memandangkan Datuk mempunyai pengalaman menjadi Setiausaha SPR sebelum ini?
WAN AHMAD: Susah hendak bercakap mengenai bayangan tarikh pilihan raya. Pertama SPR macam orang luar juga tidak tahu bila kerajaan memerintah mahu bubarkan Parlimen tapi dari segi persiapan kita sudah bersiap daripada awal. SPR tidak buat persiapan berdasarkan spekulasi atau bayangan kerana kita wajib membuat pilihan raya. Jadi tidak timbul soal bayangan cepat atau lambat. Bayangan bila parlimen dibubarkan, SPR dan orang luar sama sahaja. Kami melihat aktiviti parti, aktiviti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan segala persiapan parti. Jadi perkara itu dipantau oleh rakyat. Jika itu yang digunakan sebagai bayangan isyarat dan kerajaan akan bubarkan Dewan Parlimen dalam masa terdekat atau lama lagi, itu semua spekulasi semata-mata. Negara kita bagus kerana semua pihak akan bertanding dalam pilihan raya. Sekarang, semua pihak membuat jangkaan pilihan raya akan berlaku dalam masa terdekat, atau di luar jangkaan? Mereka sedang membuat persiapan, itu yang baiknya nanti tidak timbul ada pihak mengatakan tidak adil kerana mereka tidak tahu. Mereka merasakan terperangkap oleh Najib dan kerajaan yang membubarkan Dewan Rakyat secara tidak terduga. Itu tidak harus timbul sama sekali, semua orang buat persiapan sekarang, dan semua orang jangka Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa.
Apakah cabaran yang dihadapi SPR apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PRU13 adalah ibu pilihan raya. Adakah Datuk bersetuju?
WAN AHMAD: Dari segi SPR, pertama sekali terdapat beberapa perkara baru yang kita mesti laksanakan dalam PRU13. SPR dan pegawai serta petugas sebelum ini tidak pernah berpengalaman melaksanakan perkara-perkara tersebut. Sebagai contoh penggunaan dakwat kekal, pelaksanaannya bukan perkara senang, mesti buat persiapan asas seperti mengadakan dakwat itu dan proses perolehan bahan tempahan dan sebagainya. Keduanya, kita mesti sediakan panduan dan tatacara untuk dipatuhi secara seragam oleh petugas-petugas SPR di seluruh negara. Berasaskan panduan dan tatacara ini juga, SPR akan memberikan penjelasan, taklimat dan promosi kepada rakyat dan parti politik supaya mereka tahu kaedah dan cara penggunaan dakwat tersebut seperti cara mencalitnya di jari, segala implikasi jika ada pihak tidak mahu jarinya dicalit. Ini semua perlu diberikan penjelasan dan taklimat kepada parti politik dan orang ramai. Kalau seseorang pengundi masuk dan jari bertanda ini akan jadi masalah, ia akan dipertikaikan oleh ejen parti, banyak persoalan akan timbul.
SPR nasihatkan kepada pengundi berikan kerjasama kepada petugas kami, memastikan hujung jari telunjuk tidak terdapat apa- apa tanda yang meragukan petugas dan ejen parti di tempat mengundi. Perkara ini memerlukan persediaan dan rancangan persiapan, ini merupakan projek pertama kali pernah diadakan dalam sejarah pilihan raya negara kita. Kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku, kita lihat sudut teori, jangka pengundi datang, beri kerjasama letak jari atas beg khas yang disediakan atas meja kerana kita tidak mahu petugas sentuh jari pengundi kerana dibimbangi timbul sensitiviti kerana ada orang tidak suka tangannya disentuh dan sebagainya. Jadi banyak perkara perlu dilihat SPR, dalam melaksanakan penggunaan dakwat kekal yang tetap akan digunakan dalam PRU akan datang.
Adakah perkara baru dalam pilihan raya nanti akan menimbulkan kesangsian kepada rakyat?
WAN AHMAD: Tidak timbul kerana disahkan pada Parlimen. Dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) perkara ini tidak timbul. Perkara baru akan datang ialah satu cabaran pengurusan proses undi awal kepada pengundi tidak hadir iaitu anggota polis, tentera dan pasangan dan isteri anggota Pasukan Gerakan Am (PGA). Mereka berhak undi awal dan prosesnya rumit kerana kita perlu sediakan daftar pemilih pengundi awal yang akan diagihkan kepada pusat pengundian awal seluruh negara. Kita perlu sediakan pusat pengundian awal, tempat yang ada pengundi awal seperti Ibu Pejabat Kontinjen Polis dan kem tentera. Semua urusan pengundi awal akan dilaksanakan oleh petugas SPR dan kita hanya meminjam kawasan tempat yang diwartakan pusat mengundi.
Berapa kawasan terlibat?
WAN AHMAD: Dua ribu kawasan di seluruh negara dan sekarang ini dalam proses penentuan. Pengundi awal sekarang jumlah yang berhak ditakrifkan pengundi tidak hadir melibatkan 100,000 anggota polis dan 90,000 anggota tentera. Kirakira seramai 200,000 akan mengundi awal. Tidak semuanya anggota polis dan tentera yang mengundi awal akan dapat mengundi pada hari undi awal kerana tidak berada tempat bertugas, pada hari itu. Tidak semuanya berada di kem, mereka tidak boleh diangkut dan dipindah sebegitu mudah untuk meninggalkan kawasan operasi mereka. Terdapat juga anggota tentera ada di luar negara dan sebagainya. Proses permohonan undi pos akan dibuat secara rapi dan teliti supaya mereka benar-benar terbukti tidak dapat hadir undi awal.
Ada kumpulan yang akan undi pos? Bagaimana dengan pihak media di negara ini?
WAN AHMAD: Ada. Apabila pembubaran Parlimen, baru kita tahu. Media pun begitu juga akan undi pos iaitu undi awal daripada undi biasa. Apabila Parlimen bubar, kita akan sediakan borang untuk media, majikan kenal pasti lebih awal siapa anggota media akan tugas luar kawasan kerana tidak semua petugas media wajar mengundi pos. Ada antara mereka bertugas dalam Parlimen tempat daftar mengundi, SPR tidak galakkan mereka memohon undi pos. Majikan perlu kenal pasti petugas media yang akan bertugas di luar kawasan daripada tempat mendaftar. Borang akan dimuat turun melalui laman web dan pejabat SPR. Mereka perlu isi dan diarahkan bertugas luar kawasan dan perlu disahkan majikan mereka. Borang dikeluarkan sebelum Parlimen dibubarkan dan sekarang persiapan borang dibuat. Pengalaman kita petugas media keluar ke kawasan di mana tempat bertugas selepas Parlimen dibubarkan, mereka ditugaskan pantau hari penamaan calon, tempoh berkempen, hari pengundian dan pengisytiharan keputusan pilihan raya.









