Oleh ARDY HANSAH AMAT, ardyhansah @hmetro.com.my
JAM menunjukkan 2 pagi. Ketika ini biasanya sebahagian besar masyarakat di ibu kota lena dibuai mimpi, merehatkan badan bagi mengumpul tenaga untuk bekerja di siang hari.
Namun pada waktu dinihari seperti ini, ia juga menjadi ‘waktu bekerja’ bagi segelintir masyarakat kota untuk mencari rezeki.
Itu adalah rencah hidup di Kuala Lumpur yang tidak pernah sunyi daripada kelibat manusia tanpa mengenal waktu. Bagi ramai orang, mungkin waktu seperti ini, hanya aktiviti hiburan yang akan mengambil alih perjalanan masa.
Namun bagi yang biasa mengunjungi pasar basah, di sinilah satu lagi episod hidup perjalanan harian mereka yang bergelar peniaga kecil, penjaja dan pemborong.
Ia satu suasana berbeza. Semakin masa bergerak ke arah subuh, semakin bertambah bilangan pengunjung yang sebahagian besarnya pengusaha kedai makan yang ingin membeli barang di sini.
Pasar basah seperti di Chow Kit, Datuk Keramat, Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Taman Tun Dr Ismail dan Pasar Selayang dianggap ‘syurga’ pengusaha restoran kerana di situ mereka boleh mendapatkan barangan murah dengan kualiti lebih baik, kuantiti besar serta jauh lebih segar.
Kemeriahan penjaja kecil ini mencari rezeki biasanya berakhir sekitar jam 6 pagi. Ketika ini, penjaja pasar pagi akan mula mengambil alih perniagaan.
Sebut saja Pasar Chow Kit, siapa yang tidak mengenalinya. Malah, pasar basah terbesar di Kuala Lumpur ini juga sering dikunjungi pelancong asing bagi melihat suasana hiruk pikuk di dalamnya. Bagi mereka, pasar ini turut menggambarkan nilai budaya kaum berbeza di Malaysia.
Sememangnya pasar basah ini boleh menggambarkan 1Malaysia, yang mana pelbagai kaum duduk berhujan berpanas di bawah satu bumbung bagi mencari rezeki.
Malah, di sini juga menyaksikan sebahagian besar peniaga dan penjaja kecil mewarisi perniagaan turun temurun hingga tiga generasi memandangkan tempat ini dibuka sejak 1955.
Herma Abd Rahim, 23, misalnya membesar di pasar ini. Sejak dia dilahirkan, ayahnya berniaga ikan kering di Pasar Chow Kit.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya dan adik-beradik lain menghabiskan masa di sini. Lepas habis sekolah, kami ke sini untuk menolong ayah berniaga.
“Mungkin itu sebabnya saya mempunyai minat untuk berniaga di pasar walaupun ramai golongan muda seperti saya memilih bekerja di pejabat.
“Siapa mahu bekerja di tempat panas dan berbau busuk? Namun saya yang membesar dengan keadaan ini sudah lali, malah ia tidak menghalang saya untuk memiliki gerai sendiri di sini,” katanya kepada Metro Ahad, baru-baru ini.
Baginya, kebebasan bekerja tanpa perlu terikat dengan waktu kerja pejabat, sifat ramah peniaga sesama sendiri selain pendapatan memuaskan hasil daripada perniagaan lebih menjadi ukuran berbanding keselesaan bekerja di bawah penyaman udara.
“Ia sungguh menyeronokkan. Malah, kami seperti sebuah keluarga besar kerana saling mengenali. Lebih-lebih lagi saya daripada kecil di sini, menyebabkan saya rapat dengan mereka serta saling mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Bagaimanapun, bagi menikmati kebebasan dan keseronokan itu, ada ‘harga’ perlu dibayar. Herma dan peniaga di situ perlu berdepan risiko kecurian barang dan perubahan cuaca.
“Kecurian barangan adalah lumrah. Ini kerana pasar di sini jenis terbuka selain orang ramai bebas keluar masuk. Sukar membezakan pencuri, peniaga mahupun orang biasa kerana pasar ini beroperasi 24 jam sehari.
“Oleh itu, kami reda dengan keadaan ini, lagipun ia bukan membabitkan kerugian hingga ratusan ribu ringgit,” katanya.
Hasil berniaga di sini juga, Herma berjaya membantu meningkatkan pendapatan keluarganya selain membeli kenderaan seperti kereta dan motosikal.
Menyingkap kembali sejarah pasar berusia 57 tahun ini, Chow Kit dikatakan bekas tapak lombong bijih timah.
Meliputi sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Raja Laut selain berhampiran Kampung Baru, kawasan ini dinamakan sempena nama seorang kaunselor perbandaran yang juga pelombong timah, Loke Chow Kit.
Seorang pengunjung setia yang hanya mahu dikenali sebagai Ng Kiat, 68, berkata Pasar Chow Kit antara lokasi pasar basah terawal di sini.
Malah, menurutnya, Pasar Seni juga adalah sebuah pasar basah sekitar 1888 sebelum ia berubah wajah menjadi pusat kebudayaan pada 1980-an.
“Seawal pembukaan pasar ini, peniaga hanya menyusun beberapa keping papan di atas tanah yang dialas dengan surat khabar sebelum menyusun barang jualan di atasnya.
“Ketika itu, saya tinggal di kawasan berhampiran dan sering datang ke sini. Kiranya, inilah pusat tumpuan masyarakat Kuala Lumpur satu ketika dulu, sama seperti sekitar Menara Berkembar Kuala Lumpur, Sogo dan Bukit Bintang.
“Disebabkan ia menjadi tumpuan ramai, perkembangan ekonomi turut berkembang di sini, termasuk aktiviti kurang sihat seperti pelacuran dan penagihan dadah,” katanya.
Situasi hampir sama turut dialami di pasar basah lain. Boleh dikatakan pasar basah berkenaan sentiasa beroperasi 24 jam dengan kehadiran peniaga kecil dan penjaja yang silih berganti.
Namun, perubahan masa serta perkembangan pesat Kuala Lumpur daripada kawasan lombong kepada bandar raya utama di negara ini mula memberikan kesan kepada kehidupan warga pasar basah.
Mereka mula diancam penyusutan pendapatan lebih separuh berbanding 15 tahun lalu disebabkan beberapa faktor, baik daripada luar mahupun dalaman.
Wujudnya persaingan dengan pasar raya besar moden, kehadiran peniaga asing, masalah lesen, kebersihan dan sebagainya menjadi antara faktor penyumbang sehingga ada di antara mereka terus dibelenggu masalah kewangan.









