Persidangan Antarabangsa Melayu Polynesia yang berakhir semalam, membuat ketetapan melaksanakan beberapa resolusi mencakupi pelbagai bidang, kata pengerusi jawatankuasa penganjur Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar.
Beliau berkata antara resolusi yang dicapai ialah mewujudkan satu badan antarabangsa menerusi ‘Sekretariat Komuniti Antarabangsa Melayu Polynesia’ dengan memperkenalkan pelan dan pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu Polynesia.
Ia meliputi budaya, bahasa, pendidikan, pelancongan, penyelidikan dan pembangunan, pertanian, perniagaan, perubatan tradisional dan oseanografi.
“Sekretariat ini akan dinaik taraf sebagai pertubuhan yang sah. Menerusinya kita akan memperkenal dan mengembangkan semangat ‘merantau’ terhadap generasi muda, mewujudkan Muzium Budaya secara atas talian mengenai persamaan Melayu Polynesia dan mewujudkan portal meluas bagi Pusat Pengajian Melayu ke seluruh dunia,” katanya di Seremban, Jumaat.
Resolusi yang dibentangkan Kamaruddin itu, antara lain turut menyentuh sejarah perjuangan nenek-moyang, kemajuan kemasyarakatan dan perkembangan budaya serta pembangunan ekonomi serta perniagaan.
- Bernama









