Dapatkan / Download:
Berikut adalah beberapa contoh soalan format Laporan untuk Pentaksiran Berasaskan Sekalah (PBS), Bahasa Melayu Kertas 4. Sila ambil perhatian bahawa beberapa dari soalan ini mungkin tidak memenuhi kehendak MPM, terserah kepada budi bicara pengguna.
1. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah kurang mendapat sambutan yang menggalakkan. Anda merupakan Setiausaha Biro Sukan Majlis Perwakilan Pelajar Sekolah (MPP) diminta untuk menyediakan satu laporan tentang punca keadaan itu berlaku dan kesannya kepada pelajar.
2. Kemajuan dalam bidang sukan sering menjadi topik perbincangan dalam kalangan anggota masyarakat. Sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Sukan peringkat negeri, anda diminta untuk menyediakan satu laporan tentang punca kemerosotan atlet negara dalam bidang sukan tertentu dan mengemukakan cadangan untuk meningkatkan prestasi mereka.
3. Sebagai setiausaha Lembaga Disiplin Sekolah, anda dikehendaki membuat kajian tentang punca gejala laku musnah di sekolah anda. Sediakan laporan lengkap hasil kajian anda itu.
5. Sebagai setiausaha sebuah persatuan pengguna, anda diminta menyediakan laporan tentang kesan lambakan barangan tiruan di negara ini. Anda juga diminta untuk mengemukakan langkah bagi mengawalnya. Sediakan laporan itu. (Soalan MPM untuk Swasta)
6. Sebagai setiausaha sebuah pertubuhan bukan kerajaan, anda diminta untuk menjalankan satu kajian tentang perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Berdasarkan hasil kajian anda itu, sediakan satu laporan tentang kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini dan kemukakan cadangan anda untuk mengatasinya. Sediakan laporan itu selengkapnya.(Soalan contoh MPM)
Contoh Jawapan (Soalan 6)
Laporan tentang Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan
Cadangan untuk Mengatasinya
1.0 Pendahuluan
Pengangkutan awam penting dalam kehidupan manusia. Perkhidmatan pengangkutan awam yang baik membolehkan pengguna bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah dan selesa. Di negara ini, terdapat beberapa jenis pengangkutan awam. Antara perkhidmatan pengangkutan awam yang popular ialah perkhidmatan bas dan teksi. Sehingga kini, perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dikatakan masih belum memuaskan hati pengguna. Baru-baru ini, saya sebagai Setiausaha Persatuan Keselamatan Sosial Daerah Pekan diminta untuk menjalankan satu kajian tentang kelemahan tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan untuk mengatasinya. Yang berikut ialah laporan hasil kajian tersebut.
2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa
Pengerusi: Ahmad bin Ali
Setiausaha: Muhammad bin Daimin
Bendahari: Simon Tan
Ahli jawatankuasa:
1) Saleha binti Abu
2) Razali bin Darus
3.0 Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam
3.1 Jumlah Kenderaan Awam Tidak Mencukupi
Berdasarkan kajian, didapati bahawa jumlah kenderaan awam di beberapa buah bandar di negara ini tidak mencukupi. Di beberapa buah bandar kecil, hanya terdapat satu atau dua buah syarikat bas yang beroperasi. Jangka masa pergerakan antara sebuah bas dengan bas yang lain agak panjang disebabkan masalah kekurangan bas. Keadaan ini menyebabkan pengguna sering berebut-rebut untuk menaiki bas agar mereka tidak ketinggalan. Sesetengah penumpang teksi pula sanggup menaiki teksi melebihi muatan yang dibenarkan agar mereka cepat sampai ke destinasi. Selain tidak selesa, tindakan ini boleh membahayakan penumpang.
3.2 Keadaan Fizikal Kenderaan Awam Tidak Sempurna
Keadaan fizikal sesetengah kenderaan awam, khususnya bas dan teksi didapati kurang sempurna. Sesetengah kenderaan tersebut tidak terurus dan tidak diselenggara dengan baik. Kusyen beberapa buah bas pula didapati carik dan sesetengahnya tertulis dengan pelbagai tulisan yang berunsur lucah. Kebersihan kebanyakan kenderaan tidak dijaga dengan baik. Sistem pendingin hawa yang digunakan pula kadangkala tidak berfungsi. Keadaan ini menyebabkan pengguna berasa tidak selesa menggunakan pengangkutan awam.
3.3 Kadar Tambang Tidak Sepadan dengan Kualiti Perkhidmatan
Kajian juga mendapati bahawa kebanyakan pengguna perkhidmatan awam yang ditemui menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang kadar tambang yang dikenakan. Kebanyakan pengguna bersetuju bahawa kadar tambang tidak sepadan dengan kualiti perkhidmatan. Menurut pengguna, sesetengah pemandu teksi tidak menggunakan meter yang dipasang dengan alasan alat tersebut rosak. Segelintir kakitangan bas pula didapati kurang sopan apabila berurusan dengan penumpang. Walaupun perkara ini tidak disenangi, namun pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan awam kerana tiada pilihan lain.
4.0 Cadangan untuk Mengatasinya
4.1 Memperketat Penguatkuasaan Undang-undang tentang Usia Kenderaan Awam
Jabatan Pengangkutan Jalan hendaklah memperketat penguatkuasaan undang-undang tentang usia kenderaan awam di jalan raya. Kenderaan yang terlalu lama misalnya, yang melebihi usia 20 tahun haruslah ditamatkan permitnya. Pengusahanya boleh diberikan bantuan kewangan untuk menggantikannya dengan kenderaan yang baharu. Bantuan yang sama hendaklah diberikan kepada pemilik kenderaan awam yang kenderaan awamnya didapati kurang elok. Selain menjaga keselamatan pengguna, langkah ini penting untuk memberikan keselesaan kepada pengguna perkhidmatan tersebut.
4.2 Menambahkan Pengeluaran Permit Kenderaan Awam
Bagi mengatasi masalah kekurangan kenderaan awam, pihak kerajaan seharusnya menambahkan pengeluaran permit kenderaan awam di negara ini. Hal ini bertujuan untuk membolehkan lebih banyak kenderaan awam beroperasi. Langkah ini penting untuk mengelakkan orang ramai berebut-rebut untuk menaiki kenderaan, terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Pertambahan pemilik kenderaan awam juga penting untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pengusaha. Impaknya, pengguna dapat membuat pilihan dan masalah kekurangan kenderaan dapat dikurangkan.
5.0 Penutup
Kajian ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Selain kekurangan jumlah kenderaan awam, sikap pengusaha yang terlalu mementingkan keuntungan memungkinkan kenderaan awam tidak terjaga. Kelemahan tersebut dapat diatasi sekiranya pengusaha kenderaan awam memahami bahawa mereka sebenarnya turut melaksanakan tanggungjawab sosial. Sekiranya syarikat kenderaan awam di negara ini dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, orang ramai juga akan berasa selesa menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan.
Laporan disediakan oleh, 10 Mac 2013
Muhammad
(MUHAMMAD BIN DAIMIN)
Setiausaha Persatuan Keselamatan Sosial
Daerah Pekan










