Agenda IT Kebangsaan (NITA) telah dilancarkan pada Disember 1996 oleh National IT Council (NITC) yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
NITA memberikan garispanduan bagaimana teknologi maklumat dan komunikasi dapat digunakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju selaras dengan Wawasan 2020. Salah satu inisiatif awal NITC adalah untuk mewujudkan Multimedia Super Corridor (MSC) bagi mencapai agenda IT kebangsaan.
Kementerian Pendidikan Malaysia dan sektor swasta dipertanggungjawabkan untuk menjayakan agenda e-learning kebangsaan.
Apakah itu e-learning?
Definisi e-learning ini seringkali berubah-ubah selaras dengan kemajuan teknologi pada masa kini.
Ia juga seringkali disalah tafsirkan dalam iklan-iklan promosi pendidikan. Bagaimanapun secara umumnya, e-learning adalah sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik (LAN, WAN atau Internet) untuk penyampaian isi kandungan, interaksi ataupun pemudahcaraan.
Internet, Intranet, satelit, tape audio/video, TV interaktif dan CD-ROM adalah sebahagian dari media elektronik yang dimaksudkan di dalam kategori ini.
Pengajaran boleh disampaikan secara “synchronously” (pada waktu yang sama) ataupun “asynchronously” (pada waktu yang berbeza). Bahan pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan melalui media ini mempunyai teks, grafik, animasi, simulasi, audio dan video. Ia juga harus menyediakan kemudahan untuk diskusi dan bantuan profesional isi pelajaran secara dalam talian.
Apakah perbezaan antara pembelajaran tradisional dan e-learning?
Di dalam sebarang bentuk pembelajaran, kejayaannya banyak bergantung kepada usaha guru dan juga pelajar. Bagaimana pun untuk tujuan perbandingan diberikan perbezaan antara pembelajaran tradisional dan e-learning.
Di dalam kelas tradisional, guru dianggap sebagai pendita di atas pentas. Guru dianggap sebagai orang yang serba tahu dan ditugaskan untuk menyalurkan ilmu pengetahuan beliau kepada pelajarnya. Sebarang perancangan pada kebiasaannya adalah berpusatkan guru.
Di dalam pembelajaran e-learning fokus utamanya adalah pelajar. Pelajar perlu berdikari pada masa-masa tertentu dan bertanggung-jawab untuk pembelajarannya. Suasana pembelajaran e-learning akan memaksa pelajar memainkan peranan yang lebih aktif dalam pembelajarannya.
Pelajar membuat perancangan dan mencari bahan atau maklumat dengan daya usaha, dan inisiatif sendiri.
Kenapakah e-learning perlu digunakan di sekolah-sekolah di Malaysia?
E-learning membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan dengan lebih berkesan. Pelajar boleh memilih masa, kandungan serta hala tuju pembelajaran mereka. Pelajar juga berpeluang belajar tajuk yang susah berulang kali sehingga pemahaman dicapai.
Mereka juga dapat belajar di dalam suasana yang selamat tanpa merasa malu untuk bertanya. Pertanyaan juga boleh dibuat di dalam talian. Perbincangan kumpulan yang lebih terancang dan teratur juga boleh dicapai dengan menggunakan teknologi yang sedia ada.
E-learning yang diuruskan dengan baik dapat menyimpan rekod pembelajaran yang berkesan dan sistematik untuk rujukan pelajar dan juga untuk guru, mentor atau fasilitator.
Bahan pengajaran dan pembelajaran e-learning yang dirancang dan disediakan secara profesional dan baik akan menggunakan ciri-ciri multimedia untuk menyampaikan isi pelajaran dengan berkesan dan menarik.
Segelintir pelajar-pelajar sekolah di Malaysia sudah mula menggunakan Internet sebagai sumber maklumat yang penting.
Mereka juga sudah didedahkan kepada bahan e-learning yang ada di pasaran tempatan. Ada juga pelajar yang sudah mula mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh mereka melalui rakan sebaya di dalam chat groups atau bulletin boards.
Dengan ciri-ciri menarik yang ada pada e-learning serta minat pelajar terhadap fungsi-fungsi di dalam Internet, maka sudah tiba masanya ianya digunakan dengan meluas untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Tambahan pula kejayaan agenda e-learning kebangsaan banyak bergantung kepada pelaksanaan ICT di sekolah. Jika pelajar dapat dibimbing untuk menggunakan e-learning dengan cara yang berfaedah maka ianya akan membantu mengurangkan penggunaan negatif yang lain.
Bagi menjayakan visi kerajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengilhamkan projek 1bestari.net disekolah-sekolah seluruh Malaysia dimana pelajar akan belajar menggunakan e-learning.
Bagi mendokong usaha kementarian serta meningkatkan kesedaran rakyat, Warisan Ilmiah yang dikepalai oleh penulis kini tengah aktif menganjurkan siri kesedaran e-learning diseluruh negara agar pengguna faham akan pelaksanaannya serta bersedia untuk penukaran siri pembelajaran dari cara tradisional kepada e-learning.
Copy or Print?: | | |
